Saturday, August 21, 2010

BAHAGIAN-BAHAGIAN GERUDI PINTAL


Bahagian-Bahagian Gerudi Pintal

Badan (Body)
Badan terletak diantara hujung mata dengan batang. Ia terdiri daripada:

a) Hujung mata
Hujung mata ialah bahagian hujung yang berbentuk kon. Biasanya dicanai dengan sudut kandung 118 darjah. Bibir pemotong membahagi dua sudut kandung ini dengan masing-masing membentuk sudut 59 darjah dari paksi. Panjang hujung mata biasanya 1/3 daripada garispusat gerudi.


b) Pusat mata
Pusat mata menyerupai mata pahat yang tajam terbentuk daripada pertemuan bibir-bibir pemotong. Fungsi pusat mata ialah untuk mencungkil dan memudahkan gerudi masuk kedalam permukaan logam.

c) Bibir pemotong
Bibir pemotong atau bibir pengerat bertindak sebagai mata gerudi. Ia terbentuk daripada pertemuan lurah-lurah dengan hujung permukaan berbentuk kon. Bibir pemotong ini dibuat sama panjang.

d) Lurah
Lurah terdapat disepanjang bahagian badan. Fungsinya ialah:
            I) Untuk membentuk tepi pemotong atau bibir pemotong pada hujung berbentuk kon.
            ii) Untuk membentuk lorong-lorong bagi tatal keluar.

            iii) Untuk membolehkan bendalir pemotong sampai kehujung mata.
            iv) Untuk memudahkan tatal keluar melalui ruang yang sempit.

e) Lengkang lurah
Ia merupakan tebing yang memisahkan lurah. Lengkang lurah dianggap sebagai tulang belakang gerudi dan ianya lebih tebal dibahagian pangkal supaya gerudi menjadi lebih tegap.

f) Jidar
Jidar merupakan tebing sempit yang menonjol disepanjang lurah. Gunanya ialah untuk memberi telusan kepada badan semasa menggerudi, dengan itu gerudi tidak bergesel. Geseran ini bolih mendatangkan kepanasan yang cepat dan menghilangkan baja ataupun bolih menyebabkan gerudi tersepit.

Batang

Bahagian gerudi yang masuk kedalam spindal mesin melalui cuk gerudi atau liang sendi dinamakan batang. Batang boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

a) Batang lurus (straight shank)
Batang lurus khusus untuk gerudi kecil yang bersaiz 13 mm kebawah. Biasanya ia dipegang dalam cuk gerudi. Lihat gambarajah dibawah.
 
b) Batang tirus (taper shank)
Batang tirus pula khusus untuk gerudi besar yang mempunyai saiz lebih daripada 13 mm. Batang jenis ini boleh menetapkan kedudukkannya sendiri. Ia boleh dipasang pada spindal mesin melalui liang sendi atau soket bagi menyesuaikan saiznya. Batang gerudi dan lubang spindal mesin serta lubang liang sendi masing-masing mempunyai tirusan jenis tirusan Morse.

 
Puting (tang)

Puting berbentuk nipis, terletak dibahagian pangkal gerudi. Puting terdapat pada gerudi batang tirus sahaja. Fungsi puting ialah untuk memudahkan gerudi diputarkan kerana puting boleh masuk kedalam alur yang terdapat didalam lubang spindal mesin, soket atau liang sendi. Gerudi batang tirus boleh ditanggalkan dari spindal dengan mudah dengan menggunakan alat perenggang (drill drift). Perhatikan gambarajah dibawah.

No comments:

Post a Comment